Wednesday 13 June 2012

Adab Tatkala Marah





Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: "Janganlah engkau marah." Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah."           

(Riwayat Ahmad no. 8729, al-Bukhari no. 5765 dan al-Tirmizi no. 2020)



Jangan marah-marah ea...





Menurut al-Khattabi, maksud larangan tersebut adalah menjauhi sebab-sebab yang mencetuskan marah dan jangan melakukan sesuatu yang mengarah kepadanya.


Adab-adab ketika marah :


1 - Jangan marah kecuali kerana Allah.

Sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Demi Allah, Baginda tidak pernah marah kerana urusan peribadi yang beliau hadapi kecuali apabila larangan Allah dilanggar, maka beliau akan marah kerana Allah.” (Riwayat al-Bukhari no.6404)

2 - Ingat kekuasaan dan keagungan Allah ketika marah.

3 - Menahan marah.

Allah menyukai orang yang menahan marah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : “ … dan orang yang menahan marahnya dan memberi maaf kepada orang lain dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali ‘Imran 3:134)

4 - Berlindung kepada Allah ketika marah.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang yang marah mengucapkan A’uzubillah (aku berlindung kepada Allah), nescaya akan reda kemarahannya.” (Riwayat Ibn A’di)

5 - Diam.

Daripada Imam Ahmad, maksud sabda Baginda S.A.W : “Ajarilah, permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang daripada kalian marah, hendaklah ia diam.”

6 - Mengubah posisi.

Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu marah ketika berdiri, maka hendaklah ia duduk. Apabila marahnya tidak hilang juga, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

7 - Berwudhuk.

Marah itu api syaitan. Oleh sebab itu, sejukkan marah dengan berwudhuk.

8 - Bersabar dan memaafkan.

Sebaik-baik orang yang marah, memaafkan orang yang dimarahinya. Maksud firman Allah: “Dan jika mereka marah, mereka memberi maaf.” (Surah al-Syura 42:37)

9 - Jangan berdendam.

Allah berfirman yang bermaksud : “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.” (Surah al-Nahl 16:126)





Wallahu a’lam






Dipetik dan diubahsuai daripada Ensiklopedia Adab Islam Menurut al-Quran oleh Abdul Aziz bin Fathi al-Syahid Nada.














No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...