Tuesday, 29 May 2012

ceritera Ustaz Azhar Idrus di Puchong


Assalamualaikum dan Ahlan Wasahlan. Pada 26 Mei 2012 : Saya berserta saudara Azri, Khusairi dan lapan orang  senior UM ( termasuk saudara Syairazi, Abdul Rahman & Hud ) telah mengikuti satu kuliah maghrib di Masjid As-Sallam, Puchong Perdana yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus.




Kuliah maghrib itu yang pada asalnya dijadualkan akan diadakan di PICC, Putrajaya telah dibatalkan di saat-saat akhir. Alasan yang diberikan ialah kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Azhar akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas di Putrajaya sekaligus menyukarkan program Himpunan Sejuta Belia yang berlangsung cemerlang (kot) 23-27 Mei di Putrajaya. Walhal, hakikat sebenarnya kuliah Ustaz Azhar akan digantikan dengan persembahan artis luar negara dari Korea yang popular dengan persembahan K-Pop.




"terbaik" lah buat k-pop...bleh tambah ilmu !!!


Disebabkan malas ingin berbalah & lebih utamakan penyampaian ilmu dalam keadaan aman, pihak Ustaz Azhar telah menukarkan lokasi kuliah ke Puchong. Walaubagaimanapun, kuliah maghrib Ustaz Azhar tetap disambut hebat bukan sahaja oleh penduduk Selangor malah ada yang sanggup datang dari utara semata-mata untuk menghadiri majlis ilmu ini.


Bukan puluhan, bukan ratusan tetapi ribuan tetamu yang hadir di Masjid As-Sallam, Puchong Perdana untuk menghadiri kuliah maghrib ini sehinggakan skrin besar terpaksa diletakkan dihalaman letak kereta masjid & ada juga yang terpaksa duduk diluar pagar masjid disebabkan terlalu penuh. Subhanallah…suatu fenomena yang sememangnya luar biasa.


Bak kata Ustaz Azhar kuliah di Puchong ini antara salah satu kuliah maghrib yang ramai dihadiri tetapi yang paling ramai seingat beliau di Kulim, Kedah iaitu sekitar 50 ribu tetamu. Sehinggakan satu konsert Legend yang dijalankan berhampiran hanya dihadiri puluhan orang. Padan muka…hehe. Tahniah warga Kedah !!! 








Selesai solat maghrib, majlis ilmu dimulakan dengan sedikit kata-kata aluan imam masjid As-Sallam. Setelah menceritakan serba-sedikit mengenai masjid tersebut  yang merupakan antara masjid yang terbaik di negeri Selangor, majlis diserahkan sepenuhnya kepada al-fadhil Ustaz Azhar.


Tajuk kitab yang dibacakan oleh Ustaz Azhar ialah “Anak Kunci Syurga”. Jam yang pertama menceritakan kewajipan kita mengenali Rasul kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. “Sesiapa yang tak tahu nama penuh Rasulullah S.A.W berdosa”. Itu lah peringatan Ustaz Azhar, tetapi yang dimaksudkan dengan mengingati nama penuh Rasul ialah sekadar Muhammad B. Abdullah B. Abdul Mutalib. Jika kita mengaku cintakan Rasulullah segala perihal baginda mestilah kita ketahui. Mengapa kita boleh mencintai seseorang tetapi kita tak tahu biodata dirinya ? Renungkan….


Rasulullah kita ialah pemimpin yang paling TERhebat !!! Tidak boleh dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin yang ada dimuka bumi ini. Kalau nak dibandingkan memang amat ketara perbandingannya, bak kata ustaz “macam kita nak bandingkan kereta Kancil dengan kereta Lamborghini”. Jauh sekali perbandingannya. Masakan tidak pemimpin-pemimpin yang telah dilantik pada hari ini semuanya telah dipilih oleh orang-orang jahil. Maksud jahil disini seperti yang diterangkan ustaz, masih ada benda yang belum kita ketahui dan masih memerlukan kepada pembelajaran. Sebaliknya, Nabi Muhammad telah dipilih oleh Allah yang Maha Bijaksana & Maha Mengetahui untuk menjadikan baginda seorang pemimpin kepada sekalian manusia. Memang tak boleh digambarkan perbezaan antara manusia dengan Allah, begitulah jua keadaannya antara Rasulullah dengan pemimpin yang lain. Tiada tolok bandingnya.


Nabi Muhammad merupakan Rasul & Nabi yang terakhir (khotamun nabiyyin wal mursalin). Tak mungkin wujud nabi atau rasul selepas kewafatan baginda S.A.W. Walaupun Nabi Isa masih hidup dan akan diturunkan disaat “akhir” nanti, bukanlah bermakna Nabi Isa ialah penutup bagi sekalian nabi. Nabi Isa A.S dilantik sebelum perlantikan Nabi Muhammad sebagai Rasul. Isu nya di sini, penutup bagi sekalian Rasul & Nabi adalah berdasarkan perlantikan Rasul bukannya jangka usia nabi tersebut. Maka jelaslah, perlantikan Rasul yang terakhir hanyalah Nabi Muhammad S.A.W.  


Info tambahan, selepas kewafatan Rasulullah S.A.W ada beberapa pihak yang mendakwakan dirinya sebagai Rasul antaranya Musailamah. Begitu biadapnya Musailamah ini sehinggakan dia juga mengaku mempunyai mukjizat yang sama seperti Rasulullah yang boleh menyembuhkan mata seorang yang  mempunyai mata yang rosak (kelabu pandangan). Selepas diminta oleh para sahabat untuk menunjukkan bukti  ke-mukjizat-an  nya itu, Musailamah meludah ke mata seseorang yang berpenyakit mata kelabu. Sebaliknya berlaku, bukan pulih mata tersebut bahkan terus menjadi buta. Musailamah kemudian dihukum bunuh. Di zaman ini, Ghulam Ahmad Qadiani juga turut mengaku dirinya lebih hebat daripada rasul “ana afdhol minal rasul” . Malaysia juga tidak terlepas dengan pengakuan berani keji ini. Kajian Ustaz Azhar mendapati daripada jumlah sebenar kes ajaran sesat di Malaysia sebanyak 99% daripadanya tidak berani mengaku sebagai nabi tetapi hanya 1% sahaja yang mengaku dirinya sebagai nabi…hehe…faham-fahamlah sape orang tu yer...hehe.



inilah rupa mirza Ahmad Qadiani


maaf, statistik lamo plak...xpo kan...hehe




Selesai sesi penerangan kitab “Anak Kunci Syurga” , Ustaz Azhar memulakan jam ke-2 dengan membacakan soalan-soalan yang diberi dalam bentuk surat oleh para tetamu yang hadir. Ada beberapa soalan yang sempat saya notakan, antaranya :



1.   Isteri malas solat, alasan sebab tidak ikhlas kalau nak solat orang suruh. Lagi pun suami yang tanggung. JAWAB USTAZ : Wajib laksana solat sama ada orang suruh atau tidak.

2.   Wuduk dengan terjun dalam kolam berserta niat. JAWAB USTAZ : Sah. Ada wuduk sentuh najis. Tidak batal wuduk.

3.   Makan buah limau sembahan orang cina. JAWAB USTAZ : Haram sebab makan benda pemujaan.

4.   Solat sunat selepas azan hari Jumaat. Mana lebih afdhal solat sunat qobliyah atau solat sunat tahiyatul masjid. JAWAB USTAZ : Kalau khutbah dah start, solat sunat tahiyatul jer yang boleh, selainnya haram.

5.   Bogel depan ayat suci al-Quran. JAWAB USTAZ : Tidak haram, fahami maksud buka aurat. Aurat ada 2 jenis : Aurat dalam solat dan aurat sesama manusia. Haiwan & benda (televisyen) termasuklah ayat suci al-Quran tidak termasuk dalam kes haram dedah aurat.

6.   Letak gambar ulama dalam rumah. JAWAB USTAZ : Ade dua pendapat, haram & harus. Pendapat yang harus, boleh meletakkan gambar tetapi dengan syarat.  Kalau kita pandang gambar seseorang ulama itu kita akan ingat akhirat. Kalau gambar pemimpin yang dibolehkan hanya pemimpin yang adil.

7.   Makan telur penyu. JAWAB USTAZ : Boleh jika mampu beli…hehe.

8.   Memilih suami yang tak boleh baca al-Fatihah. JAWAB USTAZ : Boleh, sebab boleh diperbetulkan.

9.   Mengimami semasa tahiyat akhir. JAWAB USTAZ : Boleh selagi belum memberi salam.

10. Derma untuk orang yang bukan Islam. JAWAB USTAZ : Harus dengan syarat, kegiatan yang halal seperti derma untuk anak-anak yatim, fakir miskin atau mangsa bencana. Haram jika menderma bagi tujuan membina kuil dan sebagainya.

11. Cukur jambul (bayi). JAWAB USTAZ : Ada dalam Islam iaitu tahnik. Hukumnya sunat. Rasulullah suruh cukur semua rambut  sehingga licin bukan seperti adat melayu, cukur tapi tidak habis. Perbaiki…

12. Beronani bagi suami yang isterinya kerja jauh atau sebaliknya. JAWAB USTAZ :  Tetap tidak boleh. Bagi yang isterinya kedatangan haid, boleh ber”onani” tetapi hanya dengan menggunakan tubuh isteri kecuali dubur.

13. Kain kapan 5 helai untuk perempuan, 3 helai lelaki. JAWAB USTAZ : Tidak wajib, hanya sunat.

14. Amalan atau cara yang membolehkan kita melihat amalan seseorang itu diterima atau tidak. JAWAB USTAZ : Tiada.

15. Solat jemaah tetapi terdapat banyak jemaah lain. JAWAB USTAZ :  Boleh kalau tidak sengaja.

16. Motosikal asyik accident. Mandikan motor dengan air yassin. JAWAB USTAZ : Tiada nas atau dalil, cuma boleh bersolat hajat.

17. Hukum hisap ganja. JAWAB USTAZ : Apa-apa yang bertujuan untuk khayal, haram sama seperti arak.

18. Mengapa solat Subuh, Maghrib dan Isya baca kuat. JAWAB USTAZ : Sunat sahaja. Bahkan kalau membaca kuat untuk solat Zuhur & Asar tetap sah. Samalah juga perihalnya jika Subuh, Maghrib dan Isya membaca dengan suara yang perlahan masih juga sah solatnya.

19. Hukum pemberian yang diambil kembali (buruk siku). JAWAB USTAZ : Haram, kecuali untuk ayah ambil kembali pemberiannya daripada si anak. Hadis. Ulama juga turut menafsirkan ayah juga boleh diseertikan dengan ibu atau datuk.

20. Kahwin 4 sekaligus. JAWAB USTAZ : Boleh jika mampu dari segi zahir dan batin.

21. Air wuduk dari janggut mendapat ganjaran hebat. JAWAB USTAZ :  Hadis doif. Sememangnya, air wuduk menjadi saksi ibadah kita kelak.

22. Kedai makan menjalankan perniagaan pada waktu solat, terdapat pelanggan yang tidak menunaikan solat. JAWAB USTAZ : Tuan kedai tidak menanggung dosa tersebut. Tetapi majikan perlulah menyuruh semua pekerjanya menunaikan solat. Pemilik kedai juga perlulah memikirkan cara yang dapat mengajak pelanggan turut menunaikan solat.

23. Menjalankan bisnes di masjid. JAWAB USTAZ : Boleh, tapi bukan dikawasan ruangan solat.

24. Jodoh dipersetujui calon isteri dan mentua. Calon isteri merupakan seorang yang alim dan solehah. Tapi ayah dan ibu sendiri tidak mempersetujui. JAWAB USTAZ : Pengantin lelaki sah kahwin walaupun tanpa persetujuan ibu bapa. Bahkan,  pengantin perempuan  pun sama perihalnya.
 
25. Hukum isteri syak pada suami dikhuatiri mempunyai perempuan lain. JAWAB USTAZ : Tiada, lelaki boleh berkahwin sehingga empat.

26. Solat jamak takhir zuhur asar mana lebih afdhal. JAWAB USTAZ :  Boleh pilih. Tetapi jamak taqdim tak boleh dipilih. Wajib zuhur/maghrib.

27. Solat tanpa ketiadaan air atau debu. JAWAB USTAZ : Boleh solat, Islam itu indah tetapi harus menggantikan solat tersebut.

28. Terbuka aurat ketika di dalam solat. JAWAB USTAZ : Ada dua jenis aurat, aurat ketika dalam solat dan aurat sesama manusia. Kalau terbuka aurat dalam solat, masih sah solat jika ditutup dengan kadar yang segera dan hanya menggunakan tiga gerakan.






Memang banyak sungguh persoalan-persoalan mengenai bab fiqh terungkai pada malam itu. Semuanya terjawab dan diberi penerangan dengan jelas oleh ustaz Azhar berserta dalil. Sudah pastinya ada sedikit jenaka yang diselingkan bagi menjelaskan lagi situasi sebenar permasalahan. Termasuklah ayat-ayat wajib seperti  kereta Wajja, JKK dan Angry Bird…hehe.


Diharapkan ustaz Azhar dapat hadir lagi ke masjid-masjid area Puchong nie. Kami sebagai masyarakat di Puchong sentiasa menerima kedatangan orang-orang yang berani dalam menyampaikan ilmu seperti ustaz.


Saya juga tertarik dengan kata-kata ustaz sejurus sebelum kuliah ditamatkan “fenomena Islam kini sudah berubah”. Maksud yang tersirat itu begitu mendalam.


Ustaz Azhar Idrus memang seorang ustaz atau daei yang amat hebat, tapi kita kena ingat suatu perkara umat yang jahil kini terlalu ramai, umat yang fasik juga terlalu ramai, umat yang biasa-biasa juga sudah bersepah…bagaimana pula dengan bilangan si pendakwah & alim ulama ? Amat amatlah sikit..sangat sukar sekiranya kita hendak bergantung harap kepada seorang pendakwah sahaja. So, mainkan lah peranan kita sedaya yang mungkin. Jangan tunggu kita perfect untuk sampaikan dakwah, sebab sampai bila-bila pun kita tidak akan perfect….wallahu a’lam. J



Masjid As-Sallam


p/s : Makluman, soalan-soalan yang saya catatkan telah saya olah serba-sedikit. Jika ada kesilapan sila perbetulkan yer....hehe. Tapi kalau ada soalan yang tak faham atau tak berapa jelas pon boleh jer tanya saya...insyAllah, saya boleh tolong jelaskan.


























4 comments:

  1. jazakallahukhairan kathiran akh....

    ReplyDelete
  2. jazakallahukhairan kathiran akh....

    ReplyDelete
  3. Sila taip dan tonton tajuk video UAI yg sedang panas


    USTAZ MU TUNGGU AKU DATANG PENAMPILAN KHAS UAI

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...